ULASAN BUKU –ALLAH DALAM HATI ANAKKU #2

Selepas beberapa subtopik dalam pengenalan, penulis menghuraikan dengan terperinci langkah-langkah mengaplikasikan teknik ADHA (Allah Dalam Hati Anakku) dalam situasi harian. Penulis memberikan contoh perbualan serta peristiwa yang berlaku antara beliau dengan anak perempuannya.

Apa yang menarik perhatian saya dalam bab pertama “Bagaimana mengaplikasi teknik ADHA supaya anak rajin belajar?” adalah apabila penulis menghuraikan permasalahan anak-anak sekarang yang lebih gemar menghabiskan masa menonton televisyen serta bermain ‘game’. Penulis bukanlah bermaksud mahu anaknya hanya belajar sepanjang masa, tetapi penulis menyatakan kerisauannya apabila beliau perasan anaknya hanya gemar menonton rancangan kartun sepanjang hari.

Kenapa anak malas belajar? Kenapa anak lebih suka menonton kartun kegemarannya yang sama berulang-ulang kali? Kenapa anak lebih gemar bermain dengan tablet / smartphone?

Sebab utama semua permasalahan ini adalah kerana anak tidak mempunyai misi hidup atau why factor.

Sebagai ibu bapa, kita boleh membantu anak mencari misi hidupnya. Tetapi, kita sebagai ibu bapa mestilah mempunyai misi hidup @ why factor kita sendiri. Misi hidup ini akan mendorong kita untuk menjadi rajin dan bersemangat. Moga-moga perbuatan dan amalan kita menjadi ikutan anak-anak.

Sekiranya kita mahu anak kita rajin membaca buku, kita mestilah rajin membaca. Baca buku di hadapannya, bacakan buku kanak-kanak dengan intonasi yang mampu menarik minat anak-anak, tunjukkan minat apabila anak-anak cuba bercerita mengenai buku kegemarannya, belikan buku-buku dengan gambar yang menarik dan galakkan anak-anak membaca pada waktu terluang dengan membawa buku-buku bersama apabila keluar berjalan-jalan.

Selain itu, penulis menekankan bahawa misi hidup ini tidak semestinya akan tercapai. Misalnya jika seorang anak ingin menjadi guru untuk membolehkannya membantu mengajar anak-anak yatim.  Tiada jaminan anak akan berjaya menjadi guru. Apapun kerjaya anak apabila dewasa, doa kita semoga anak akan teruskan misi hidupnya untuk membantu anak-anak yatim yang memerlukan.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah apabila penulis menceritakan bagaimana beliau membaca doa, memohon kepada Allah. Penulis mengajak anaknya sama-sama berdoa kepada Allah. Kemudian sambil menadah tangan, penulis berdoa dengan suara yang boleh didengar jelas oleh anaknya. Doa itu pula jelas dan spesifik. Doa mengandungi permintaan, dan sebab permintaan tersebut. Anaknya mengikut ayat demi ayat, dan mereka mengaminkan doa tersebut bersama-sama.

Contoh doa yang spesifik adalah : “Ya Allah Ya Tuhanku, bantulah Syamil rajin baca buku, tak suka tengok kartun sepanjang hari. Sebab Syamil nak jadi cikgu. Syamil nak ajar anak-anak yatim sampai pandai. Syamil nak tolong murid-murid yang susah macam cikgu-cikgu di rumah anak yatim. Sebab Syamil nak masuk syurga. Bantu Syamil Ya Allah. Terima kasih Allah. Amin.”

Comments

Popular posts from this blog

SINGGAH DI PANTAI BALOK - SAMSURIA BEACH RESORT & RESIDENCES

DINOSAURS ALIVE KUALA LUMPUR: AKTIVITI MENARIK